Pertemuan semula rakan-rakan laman zaman sekolah tau REUNION melalui media sosial seperti Facebook dan "group" Whatapps kadangkala boleh membuatkan rumahtangga yang dibina porak peranda ekorån terkenangkan kisah laman.
Apa yang dikatakan ini diakui oleh pelawak Salih Yaakob, 55, yang mengatakan itulah punca sebenarnya rumahtangganya dengan isteri kedua, Nor Raha Hamad, 47, runtuh pada September tahun lalu.
“Pada zaman ini, orang suka sangat anjurkan sesi reunion dengan kawan-kawan sekolah. Mula-mula seronok sebab dapat mengimbau kembali kenangan zaman sekolah, lelaki dan perempuan. Akhirnya, boleh jadi suka semula dengan kawan lama kita.
“Ini sangat berbahaya sebab perkara ini boleh membawa kepada punca perceraian. Buktinya, itulah juga yang terjadi kepada saya dan isteri sehingga kami akhirnya berpisah. Selepas 23 tahun berkahwin, kami berpisah tidak lama selepas acara reunion sekolah dia,” jelasnya dipetik laporan Utusan Malaysia.
“Dia mula berubah sikap selepas bertemu semula dengan rakan-rakan lamanya semasa reunion dan ketika itu dia memberitahu yang dia sudah tawar hati dan mohon untuk dilepaskan. Oleh kerana hormat akan permintaan dia, maka saya menceraikan dia secara baik. Pada usia 47 tahun, dia minta cerai dan saya perlu tunaikan kerana tidak mahu berdosa,” katanya.
Salih yang merupakan bapa kepada 13 orang anak itu yakin bahawa apa yang terjadi ini ada hikmah disebalik segala yang terjadi dalam kehidupannya dan isteri-isteri yang lain.
“Saya percaya, tentu ada sebab mengapa Allah mengaturkan perkara ini. Sebagai hamba Allah, kita perlu percaya dan menerimanya dengan yakin. Tak perlulah kita menghukum mana-mana pihak di sebalik perkara ini.
“Mengenai berkahwin lagi, benda ini tidak boleh diatur-atur atau dirancang. Saya tidak ada jawapan untuk soalan itu kerana saya tidak boleh meramalkan apa yang bakal terjadi pada masa depan, kita terima sahaja bahagian masing-masing yang sudah ditentukan oleh Allah,” katanya.
Tiga isteri yang masih setia dengan Salih ketika ini ialah Norlizah Mamat, 51, Norfara Wahida Sulaiman, 37, dan Samihah Syeikh Ali (30).
Hasil perkahwinan Salih dan Nor Raha, dikurniakan lima anak berumur antara 13 hingga 22 tahun, selain dua yang masih bersekolah.